Melaka hargai jasa pesara

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Empat puluh tahun bergelar penjawat awam mengajar Zakaria Abu Bakar untuk menghargai masa dan menjadikan integriti sebagai panduan ketika menjalankan amanah yang digalasnya.

Dia yang memegang jawatan sebagai pegawai perkhidmatan awam di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jasin sebelum bersara berkata, perkembangan teknologi semasa yang pantas juga menjadi cabaran buat ‘orang lama’ seperti dirinya dan rakan-rakan seusia yang lain.

Namun katanya, itulah bentuk cabaran perlu ditempuh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak ketinggalan akibat peredaran zaman.

“Tidak dinafikan saya dan rakan seusia lain berasa tercabar dengan kecekapan orang muda dalam aspek teknologi ini. Jadi kami belajar untuk menguasai teknologi, setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

“Sebagai seorang penjawat awam apa juga rintangan dan setiap amanah yang diberikan perlu diselesaikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Zakaria menerima sijil penghargaan dan plak disampaikan  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Isnin .

Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Abdul Aziz Engan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta tetamu lain.

Photo 2023 12 11 18 00 12
Pesara, Shafie Mad Amin, 59 ketika ditemui sempena Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah hote di Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Seramai 35 pesara termasuk lapan waris pesara yang meninggal dunia diraikan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh berkhidmat dalam pentadbiran Kerajan Negeri.

Sementara itu, seorang lagi pesara, Shafie Mad Amin, 59, berkata, keikhlasan dan tidak mudah berputus asa menjadi pegangan buatnya selama 19 tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.

Meskipun, kekurangan fizikal akibat kemalangan pada 2014 dan terpaksa menggunakan bantuan tongkat untuk menjalankan tugas, ia bukan alasan bagi Shafie untuk tidak memberikan perkhidmatan berkualiti.

Shafie, bersara Ogos tahun lalu amat berterima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan jabatan itu termasuk Pengarah JKR negeri yang banyak membantunya.

“Biarpun jawatan saya hanyalah pengawal keselamatan yang menjaga aset Kerajaan Negeri, peluang pekerjaan ini amat bermakna buat saya sehingga mampu membesarkan anak dan menyara keluarga.

“Anak-anak banyak memberi semangat lebih-lebih lagi apabila tahap kesihatan saya mula merosot dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4806
Kongsi :
Previous post Bagi barang kitar semula, dapat duit
Next post Sistem PADU mudahkan JPKK selesai masalah penduduk
Ubah saiz-+=