Koperasi perlu teroka aktiviti perniagaan baharu – ANGKASA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Jan – Semua koperasi di negara ini perlu mempunyai strategi memperkasa aktiviti perniagaan baharu agar mampu menyumbang kepada pulangan perolehan koperasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penekanan aspek digital antara yang perlu diperkasa dalam aktiviti perniagaan baharu.

Jelasnya ia berikutan aspek digital sangat penting terhadap sasaran kerajaan dalam Dasar Tansformasi Koperasi (TransKom) yang menyasar pulangan dalam koperasi sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2030.

“Kerajaan telah meletakkan dalam TransKom di mana sasaran pada tahun 2025 koperasi kena menyumbangkan sebanyak RM60 bilion pada perolehan gerakan koperasi dan pada 2030 sebanyak RM100 bilion.

“Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya koperasi yang ada sekarang ini berani meneroka perniagaan baharu dan tidak boleh bergantung aktiviti perniagaan tradisional semata-mata.

“Berikutan dengan perubahan akibat pandemik COVID-19 berlaku, mereka bukan sahaja perlu melihat secara serius tetapi mereka kena atur secara stategik supaya perniagaan yang terjejas dapat diatasi dengan langkah perniagaan baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ANGKASA yang merupakan platform sebagai agensi perangsang akan mengambil langkah menggerakkan sebanyak 3,000 premis koperasi di negara ini untuk dibangunkan.

Ia katanya, bagi memastikan koperasi yang ada lebih aktif dalam bidang peruncitan yang menekankan aspek digital selain menjual barangan secara tradisional.

“Kita juga telah mengenalpasti lapan sektor baharu yang akan menjadi sasaran untuk melebarkan perniagaan koperasi antaranya perbankan dan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pertanian, perladangan, pelancongan, kesihatan, perumahan dan hartanah, dan tenaga, teknologi maklumat dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

616
Kongsi :
Previous post Kerepek pisang sumber rezeki ibu tunggal dirosakkan monyet
Next post Rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak didengar 13 April
Ubah saiz-+=