KP Sinar Harian meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Datuk Baharom Mahusin meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata  Allahyarham mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Allahyarham masuk hospital sejak dua minggu lepas, dia mengalami batu karang tersumbat dalam hempedu. Selepas itu, terdapat jangkitan kuman dalam darah dan sehingga semalam, komplikasi itu menyerang pada jantungnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jenazah Baharom, 54, akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabah di Taman Koperasi Polis untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.

Hussamuddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rajin, berdedikasi, tegas dan teliti dalam pekerjaannya serta berjaya melakukan transformasi terhadap surat khabar Sinar Harian.

“Allahyarham seorang yang baik dan tidak banyak bercakap, beliau hadir siang malam setiap hari ke tempat kerja. Sejak dua tahun lepas, Allahyarham bertungkus lumus dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Farah Hussamuddin untuk menambah baik dan membuat transformasi bagi pengisian editorial.

“Sumbangan Allahyarham sangat besar, Sinar Harian kini merupakan surat khabar nombor satu di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Hussamuddin memaklumkan berita kematian Allahyarham menerusi ciapan di Twitternya.

“Hari ini, Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah pemergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana. Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah SWT memberi tempat terbaik buat beliau,” tulisnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga kerja Sinar Harian.

“Kerjasama Allahyarham dengan Mapim sangat bermakna dan dihargai serta pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat dunia kewartawanan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

–BERNAMA

Views:

941
Kongsi :
Previous post Ahli tidak perlu bayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar – KWSP
Next post Zoo Negara kembali alami krisis kewangan
Ubah saiz-+=