KPDNHEP batal lesen 34 syarikat jualan langsung

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 15 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membatalkan lesen 34 syarikat jualan langsung selepas dikesan melanggar syarat lesen selain beroperasi luar waktu dibenarkan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah pembatalan syarikat itu adalah setakat September lalu dan dilakukan bertujuan mengawal aktiviti jualan langsung di negara ini.

“Kementerian ada akta-akta tertentu boleh digunapakai jika syarikat jualan langsung terbabit dikesan melakukan kesalahan. Sebelum ini banyak pihak beranggapan bahawa industri ini mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2022, di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan Pembangunan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem serta Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Menurutnya, syarikat lesen jualan langsung yang sah kini mampu menjana pendapatan lumayan dan mengikut statistik, nilai jualan yang direkodkan pada 2019 adalah RM21.5 billion.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 19.53 peratus atau RM25.7 bilion bagi 2022. Industri jualan langsung menyumbang dengan ketara kepada pembangunan kemahiran, pertumbuhan teknologi, pertumbuhan sektor PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) serta pemerkasaan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1268
Kongsi :
Previous post 17 mangsa banjir di Jasin masih ditempatkan di PPS
Next post Keputusan SPM ulangan dikeluarkan Khamis depan
Ubah saiz-+=