KPDNHEP P.Pinang rampas gas LPG bernilai RM22,500

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BUKIT MERTAJAM 17 April. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 138 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM22,500 dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Minyak di sini, semalam.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihaknya menyerbu kawasan itu pada 2.30 petang dan mendapati terdapat beberapa individu sedang menjalankan penyelewengan gas LPG, namun mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa KPDNHEP.

MOHD Ridzuan…serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihaknya mengenai penyelewengan gas LPG. Foto Facebook KPDNHEP P.Pinang.

“Pemeriksaan mendapati, sindiket itu menutup kawasan mereka menjalankan pemindahan gas LPG tersebut dengan memasang zink di satu lot di dalam kawasan kebun ladang sawit berkenaan dipercayai bagi mengelak orang ramai melihat kegiatan itu.

“Modus operandi yang dijalankan sindiket itu ialah memindahkan gas LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50 kg, sebelum menjualnya dan dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

KPDNHEP P.Pinang rampas 138 tong gas LPG bernilai RM22,500 dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Minyak. Foto Facebook KPDNHEP P.Pinang.

 

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 30 tong gas LPG berkapasiti 50 kg dan 108 tong gas LPG berkapasiti 14 kg yang kesemuanya bernilai RM22,500 dan pihaknya memandang serius kegiatan tersebut kerana ia merugikan kerajaan serta rakyat.

Mohd Ridzuan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan kes disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

731
Kongsi :
Previous post Penjual durian dakwa rugi RM178,132 akibat pelaburan tidak wujud
Next post Sukan sepatutnya jadi ejen perpaduan- Reezal Merican
Ubah saiz-+=