KPDNHEP Selangor tawar bantuan pemulihan dokumen perniagaan rosak susulan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SHAH ALAM, 7 Jan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menawarkan bantuan pemulihan dokumen perniagaan yang rosak disebabkan bencana banjir.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata bantuan itu melibatkan penggantian atau cetakan semula Lesen Barang Kawalan (CSA) bagi mangsa yang terjejas banjir di negeri itu baru-baru ini.

“KPDNHEP Selangor amat peka dan prihatin dengan segelintir peniaga di sekitar Selangor yang turut terkesan secara fizikal (premis perniagaan) disebabkan bencana banjir baru-baru ini.

“Justeru itu, peniaga yang terkesan boleh membuat permohonan menerusi Sistem BLESS 2.0 di pautan https://bless2.bless.gov.my/bless2, pilih jenis lesen : request for print dan lampirkan laporan polis serta salinan SSM,” katanya.

Beliau berkata untuk pertanyaan, mereka yang terjejas boleh menghubungi Nordiana Abdul atau Izla Mazzura di talian 03-5514 4313 atau 03-5514 4311 dalam tempoh hari bekerja.

Muhamad Zikril Azan berkata pihaknya juga menggerakkan 260 penguat kuasa di Selangor untuk memantau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilanjutkan sehingga 4 Feb dan diperluaskan kepada barangan keperluan isi rumah seperti perabot.

Beliau berkata tinjauan terhadap kategori barangan keperluan isi rumah (perabot) adalah pelaksanaan proaktif di bawah OPS CAKNA yang berkuat kuasa pada 1 sehingga 31 Jan ini.

“Tujuan pelaksanaan OPS CAKNA untuk mengelakkan berlakunya aktiviti pengambilan keuntungan tinggi yang tidak munasabah serta menaikkan harga barangan keperluan isi rumah di pasaran kesan daripada bencana banjir di Selangor,” katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata sepanjang pelaksanaan SHMKM Disember lepas sehingga semalam, sebanyak enam kes direkodkan pihaknya iaitu empat kes di bawah kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas dan selebihnya melibatkan penjual menjual melebihi harga maksimum. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Mahkamah Persekutuan dengar rayuan Rosmah batal kes rasuah berkaitan solar, gugur Sri Ram 24 Mac
Next post 85.7 peratus ketua isi rumah terima bantuan wang ihsan setakat tengah hari ini – PM
Ubah saiz-+=