KPI skuad Penyu lebih tinggi musim 2021

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TERENGGANU FC (TFC) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) lebih cemerlang tahun hadapan selepas melakar kejayaan berada dalam kelompok tiga teratas saingan Liga Super musim ini serta layak ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd Ab Rasid Jusoh berkata biarpun masih terlalu awal memandangkan sesi latihan baharu sahaja bermula, skuad Penyu bertekad memburu kedudukan lebih tinggi dalam Liga Super serta cabaran Piala FA dan Piala Malaysia.

“Sekurang-kurangnya kami mesti lebih baik daripada musim ini. Itu target kami. Kalau berada di bawah (dari musim ini), itu bermakna kami gagal. Sama ada naib juara Liga Super atau johan dalam Piala FA, itu menjadi rebutan bukan sahaja kami malah semua pasukan.

“Kami (TFC) pernah juara Piala Malaysia pada 2001 maka sudah 20 tahun kami mengidamkan piala yang sama di samping kami juga hendak kekal dalam AFC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan pasukan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Dalam pada itu, Ab Rasid berkata skuad Penyu mempunyai barisan pemain terutama pemain tempatan yang hampir lengkap mengikut posisi ditentukan pihak kejurulatihan diketuai Nafuzi Zain bagi mengharungi semua aksi perlawanan musim hadapan.

“Pemain yang kami ada sekarang ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai komposisi umur yang sangat baik, daripada senior, umur sederhana dan pemain muda. Jadi, dalam keadaan ini ketua jurulatih (Nafuzi) harus bijak memilih pemain sebab ini (pemilihan pemain) dibuat oleh beliau berdasarkan kelayakan ke AFC di samping piala-piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia (Liga-M),” katanya.

Untuk rekod, TFC telah memperkenalkan pemain baharunya iaitu bekas pemain skuad Tok Gajah Mohd Faisal Abdul Halim, bekas pemain UiTM FC Muhamad Arif Mohamed Anwar, bekas kapten UKM FC Asnan Ahmad dan bekas pemain Felda United Muhammad Azarul Nazarith Azhar.

Selain itu, skuad Penyu turut ‘memborong’ tiga pemain Kelantan iaitu Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohamad Hakimi Abdullah.

Ditanya mengenai pemain import yang sehingga kini masih ‘dirahsiakan’, Ab Rasid berkata pihaknya berharap lima pemain berkenaan akan tiba di Malaysia sebelum Januari ini meskipun prosedur kemasukan pemain import ke Malaysia untuk musim hadapan agak ketat berikutan penularan pandemik COVID-19.- BERNAMA

Views:

916
Kongsi :
Previous post Letupan, percikan api selamatkan pemandu trelar
Next post Permintaan elektrik susut, tenaga boleh diperbaharui peroleh momentum
Ubah saiz-+=