KPM umum peperiksaan percubaan SPM 2020 dibatalkan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH: Kementerian Pendidikan (KPM) semalam mengumumkan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dibatalkan.

Sehubungan itu semua sekolah yang belum melaksanakan peperiksaan percubaan SPM 2020 tidak perlu mengadakan peperiksaan itu apabila sekolah dibuka esok.

Perkara itu terkandung dalam senarai pertanyaan umum mengenai operasi institusi pendidikan di laman Facebook rasmi KPM yang dikemas kini semalam.

KPM bagaimanapun memberi jaminan biarpun tidak menduduki peperiksaan percubaan SPM 2020, peluang pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak akan terjejas.

“KPM telah mengadakan perbincangan dengan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan peluang pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, peperiksaan pentaksiran pusat dan peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara akan diteruskan.

“Semua calon juga perlu menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2020 yang tertangguh.

“Jadual MUET boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di pautan: www.mpm.edu.my,” katanya.

Dalam pada itu, KPM juga memaklumkan Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu akan diadakan pada 3 Februari depan.

“Sehubungan itu murid yang membuat rayuan pengecualian kelas peralihan tidak perlu menduduki ujian itu pada 21 Januari ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, dilapor berkata, 15 peratus atau 346 buah daripada 2,350 buah sekolah masih belum melaksanakan peperiksaan percubaan SPM 2020.

Kebanyakan sekolah itu berada di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal, iaitu di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Labuan.

Katanya, sebanyak 2004 sekolah atau 85 peratus daripada 2,350 sekolah di seluruh negara sudah mengadakan peperiksaan percubaan SPM 2020, sebelum sekolah ditutup bermula 9 November lalu.

Views:

1780
Kongsi :
Previous post Program subsidi upah 3.0 ditambah baik, semua majikan di kawasan PKP layak memohon
Next post Mangsa banjir di Sabah terus meningkat, Sarawak kekal
Ubah saiz-+=