KRIIS gotong-royong bersihkan kediaman pesakit terlantar

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TABOH NANING 5 Mac. – Sembilan anggota Komuniti Rekreasi Insan Istimewa (KRIIS) hari ini bergotong-royong membersihkan kediaman dua pesakit wanita terlantar di Kampung Sungai Buloh, di sini hari ini.

Presiden KRIIS Noorusa’adah Ramli, 48, bersama lapan anggota KRIIS bukan setakat bergotong-royong membersihkan kediaman Azizah Bujang, 54, dan kakaknya, Norila, 57, malah memandikan mereka.

Bantuan itu sekali gus meringankan beban anak Azizah, Mohd Fakhrul Fitri Razali, 16, untuk menjaga ibu dan ibu saudaranya itu, terutama dari aspek memandikan mereka.

ANGGOTA KRIIS bergotong-royong membersihkan kediaman Mohd Fakhrul di Kampung Sungai Buloh, Masjid Tanah.

Noorusa’adah berkata, pihaknya memfokuskan bantuan dari segi memandikan pesakit, warga emas, orang kurang upaya dan seumpamanya yang menghadapi masalah kesihatan untuk meneruskan kehidupan.

“Sungguh besar pengorbanan Mohd Fakhrul menjaga ibunya yang menghidap angin ahmar dan tidak boleh menggerakkan bahagian kanan anggota tubuh, selain ibu saudaranya Norila yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat diabetes kronik.

“Kami hadir untuk membantu memandikan kedua-dua pesakit itu, selain membersihkan dan menjemur katil pesakit serta mencuci perabot yang diselaputi habuk tebal dan mengemas ruang tamu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga terbabit hari ini.

NOORUSA’ADAH…KRIIS memfokuskan bantuan termasuk dari segi memandikan pesakit, warga emas dan seumpamanya yang menghadapi masalah kesihatan.

Mohd Fakhrul yang bersekolah di Sekolah Menengah Naning, Alor Gajah menjaga kedua-dua wanita terbabit sejak Azizah diserang angin ahmar pada 2014 manakala Norila terpaksa dipotong kedua belah kaki pada 2010 dan 2016.

Keluarga terbabit hanya bergantung pada pencen ilat Azizah sebanyak RM900 sebulan dan bantuan makanan bernilai RM200 sebulan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas bapanya, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.

Noorusa’adah berkata, sumbangan orang ramai dimanfaatkan untuk menyediakan lampin pakai buang, selain mendapatan bahan makanan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.

Sementara itu, Mohd Fakhrul Fitri berkata, dia amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada anggota KRIIS yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu memandikan ibu dan ibu saudaranya.

“Saya tidak larat untuk mengangkat mereka ke bilik mandi, jadi sebelum ini saya hanya mengelap muka dan badan mereka bagi memastikan mereka bersih,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd Fakhrul boleh menghubunginya dengan menelefon 017-3065606 dan sumbangan untuk KRIIS boleh dibuat dengan menghubungi Noorusa’adah
(01113179001).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

811
Kongsi :
Previous post RTM siar dokumentari istiadat perkahwinan diraja Agong, Permaisuri esok
Next post 60 murid terima sumbangan barangan persekolahan
Ubah saiz-+=