Sorting by

×

Krisis politik Sabah: Istana Seri Kinabalu, Sri Gaya masih jadi tumpuan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA KINABALU, 9 Jan – Istana Seri Kinabalu dan kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, hari ini masih menjadi tumpuan terutama buat pengamal media Sabah berikutan situasi politik ketika ini.

Pengamal media dilihat berkumpul seawal pukul 9 pagi di Istana Seri Kinabalu di sini bagi memantau pergerakan pemimpin, namun sehingga berita ini ditulis tiada makluman rasmi untuk sebarang acara bagi liputan di istana itu.

Sri Gaya yang menjadi lokasi pertemuan pemimpin negeri terutama daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dilihat menjadi tumpuan dengan pengamal media dijangka berkumpul bagi mengetahui situasi politik semasa negeri.

Semalam, Hajiji mendakwa beliau telah memperoleh sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah antaranya daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), justeru kerajaan Sabah masih kekal serta utuh, dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.

Seramai 29 daripada 44 ADUN adalah daripada GRS manakala PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam menegaskan kerajaan Sabah pada masa ini sudah tiada dan jawatan Ketua Menteri disandang Hajiji sudah terlerai dengan tindakan BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan negeri pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri ini sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia dijadual hari ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1724
Kongsi :
Previous post Lima gerai medan selera di Bukit Baru musnah
Next post Kes baharu mingguan COVID-19 turun 14.2 peratus – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=