KRT Melaka agih 50,000 pek bubur lambuk

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LINGGI 23 Mac – Lebih 50,000 pek bubur lambuk diagihkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Melaka kepada orang ramai sempena Ramadan tahun ini.

Ia menerusi Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Melaka 2024 yang diadakan serentak seluruh negeri dan negara, hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, program tersebut melibatkan 150 KRT seluruh negeri yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti.

Jelasnya, setiap KRT terlibat telah memasak anggaran dua kawah bubur lambuk yang kemudiannya dibungkus sebelum diagihkan di kawasan tumpuan ramai.

“Program sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim sesama KRT dan penduduk, bahkan ia juga menambah kemeriahan bulan Ramadan iaitu bulan mulia bagi umat Islam.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kerana ini dapat membuktikan KRT di Melaka cukup aktif untuk bersama-sama komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan pengagihan bubur lambuk di Japerun Kuala Linggi dan Jambatan Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, selain bubur lambuk, KRT di Melaka turut aktif bergotong-royong memasak pelbagai makanan tradisi antaranya dodol dan kuih-muih untuk diagihkan sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurut beliau, di Melaka terdapat sebanyak 253 KRT membabitkan kampung-kampung dan taman perumahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post PSM turun padang beri sokongan kepada pesakit
Next post Isu stoking: Henti komen demi keharmonian kaum
Ubah saiz-+=