KUTIPAN ZAKAT PERNIAGAAN DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

MACHAP JAYA 27 November – Prestasi kutipan zakat perniagaan di Melaka menunjukkan peningkatan apabila merekodkan kenaikan kira-kira lapan peratus pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, selain daripada kesedaran pembayar zakat dan wakil syarikat, peningkatan kutipan itu juga adalah hasil kesungguhan kakitangan Zakat Melaka.

“Setakat ini kita dapati (kutipan zakat) semakin meningkat dan berharap trend ini terus positif, malah untuk zakat perniagaan itu sendiri terdapat peningkatan sebanyak kira-kira 8 peratus berbanding sebelum ini.

“Kita di Zakat Melaka tidak hanya menunggu sahaja, malah sejak awal tahun lagi kakitangan Zakat Melaka tanpa jemu pergi ke syarikat-syarikat, kilang dan agensi bagi memberi taklimat serta tarbiah betapa pentingnya pembayaran zakat ini. Alhamdulillah usaha-usaha ini membuahkan hasil.

“Kepada agensi kita juga ucapkan terima kasih kerana pada tahun ini ada peningkatan apabila mereka terpanggil untuk mengeluarkan zakat meskipun tidak banyak tetapi sudah mula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Agihan Zakat Kumpulan FGV Sempena Program FGV Seikhlas Hati, di Hutan Percha, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris dan Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV, Azmi Yaakob.

Menurut Mohd Azmi, bagi kutipan keseluruhan terkini, Zakat Melaka merekodkan sejumlah RM112 juta dan sasaran pada tahun ini adalah sebanyak RM135 juta.

“Kita harapkan dalam masa sebulan ini mereka yang layak akan tampil membuat pembayaran, namun mengikut trend kebiasaannya pada hujung tahun ini ramai akan berpusu-pusu membayar zakat.

“Sekiranya kita dapat mencapai sasaran jumlah RM135 juta itu, ia secara tidak langsung dapat diagihkan kepada asnaf-asnaf dengan kadar yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, di pihak Zakat Melaka, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kerana memilih negeri Melaka untuk membayar zakat menerusi FGV Holdings Bhd.

“Ini tahun kedua FGV mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM200,000 kepada Zakat Melaka, walaupun skop perniagaan mereka tidak banyak di negeri ini tetapi Melaka terus dipilih untuk tunaikan pembayaran zakat.

“Diharap Melaka terus dipilih sebagai lokasi untuk FGV menunaikan tanggungjawab mereka sekali gus dapatlah kita agihkan untuk membantu asnaf,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post 5,500 PESERTA PROMOSI TRADISI MELAKA MELALUI LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA 2024
Next post KES HILANG MYKAD LEBIH TIGA KALI DI MELAKA MENINGKAT
Ubah saiz-+=