Laluan gelap, kerap kemalangan dinaik taraf

Masa Membaca:54 Saat

AYER LIMAU 4 Ogos – Aspek keselamatan laluan sepanjang tiga kilometer dari simpang tiga Jalan Paya Lebar ke persimpangan Ramuan Cina Kecil dilaporkan kerap berlaku kemalangan akan dinaik taraf.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, dalam tempoh dua bulan (Jun dan Julai) sahaja 15 kemalangan meragut empat nyawa dilaporkan di laluan berkenaan.

Katanya, hasil lawatan ke lokasi berkenaan baru-baru ini mendapati laluan itu agak gelap pada waktu malam.

“Pada pengamatan saya sepanjang lawatan, laluan itu sebenarnya tidak bahaya, cuma kurang daripada aspek pencahayaan sahaja.

“Kita dapati kemalangan kerap dilaporkan berpunca daripada sikap pemandu, selain kumpulan penunggang motosikal yang menjadikan laluan ini sebagai trek lumba haram dan perkara ini sudah berlarutan agak lama,” katanya.

Berikutan itu Hameed meminta pihak berkuasa khusus Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan penguatkuasaan di laluan terbabit.

Menurutnya, hasil perbincangan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan menambah papan tanda dan meningkatkan lagi aspek pencahayaan.

“Nasihat saya, pemandu dan penunggang agar lebih berhati-hati, ketika menggunakan laluan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post Megafest Havoc Roadtour bakal pukau orang Melaka
Next post Sensasi anggur rasa laici Masjid Tanah
Ubah saiz-+=