Laman Belia bakal berwajah baharu
SUNGAI RAMBAI 11 Oktober – Laman Belia Sungai Rambai bakal ‘berwajah baharu’ selepas beberapa kerja naik taraf seperti pemasangan lampu hiasan sepanjang hampir lima kilometer dan mengindahkan landskap siap dijalankan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, kos kerja naik taraf itu menggunakan bajet daripada beberapa agensi termasuk Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac) serta Kementerian Ekonomi.
Jelasnya, turut dibina adalah taman permainan kanak-kanak, membaik pulih laluan pejalan kaki dan dewan sebaguna.
“Lampu hiasan akan mula dipasang hujung bulan ini menggunakan peruntukan daripada Motac, sementara itu kerja-kerja lain akan dijalankan secara berperingkat mengikut bajet diterima.
“Apabila siap kelak, kemudahan seperti jambatan gantung dijangka menjadi tarikan utama khusus bagi mereka yang mencari lokasi untuk bergambar, diharap usaha ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke Laman Belia,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, pembinaan jeti bagi kemudahan Nelayan Barat untuk meletak sampan juga dicadang dibangunkan di Laman Belia.
Siti Faizah berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Jabatan Perikanan dan berharap cadangan berkenaan mendapat perhatian serta disegerakan.
“Jika dapat disiapkan awal tahun hadapan lebih bagus, kerana ia secara tidak langsung menambah lagi produk pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Mengikut cadangan jeti itu mampu menempatkan sehingga 10 buah sampan yang bukan sahaja untuk kegunaan nelayan keluar mencari rezeki sebaliknya mereka boleh menawarkan khidmat sewaan bagi kaki pancing atau pihak yang mahu menikmati keindahan Sungai Kesang,” katanya.
Berdasarkan kepada pelbagai perancangan yang diatur Siti Faizah, menolak dakwaan kononnya Laman Belia terbiar.
Dia memberitahu pelaksanaan setiap projek pembangunan atau naik taraf sebenarnya bergantung kepada kelulusan dan peruntukan yang diterima.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.