Lambang muafakat Kampung Bukit Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

DUYONG 18 Januari – Muafakat membawa berkat. Itulah motto yang dibawa penduduk Kampung Bukit Duyong, di sini, dalam mengindah dan menceriakan kampung mereka demi menjaga imej baik Negeri Melaka.

Persepakatan dan kerjasama yang erat dalam kalangan penduduk jelas kelihatan apabila mereka tanpa mengira peringkat usia bersama-sama berganding bahu mengubah dewan serbaguna kampung berkenaan kepada Laman Muafakat Kampungku.

Inisiatif itu nyata berbaloi apabila buat pertama kalinya kampung itu terpilih ke peringkat akhir Pertandingan Laman Indah Melaka yang dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Pengerusi JPKK Kampung Bukit Duyong Jafri Mamat berkata, mereka tidak pernah meletakkan sebarang harapan pada pertandingan berkenaan, namun apabila diumum layak ke peringkat akhir ia menjadi satu penghormatan besar untuk mereka.

Photo1705473161
ALAT ketuk-ketuk yang terdapat di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, katanya, kejayaan itu juga menjadi pemangkin untuk mereka terus bergerak seiring dalam menjaga imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

“Sebenarnya ini adalah pertama kali kami masuk pertandingan keceriaan dan tidak menyangka terpilih ke peringkat akhir bersama 19 lagi kampung termasuk taman perumahan.

“Ini membuatkan kami teruja untuk memberikan sebaik yang mungkin dan turut menyahut cabaran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem untuk menonjolkan Kampung Bukit Duyong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Menerusi pertandingan ini kita bukan sahaja bersama-sama untuk mengindahkan kampung malah dapat mengeratkan lagi hubungan serta ukhwah antara penduduk kampung. Walaupun kami berbilang bangsa namun permuafakatan yang terjalin ini amat indah untuk kehidupan komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong.

Jafri berkata, dalam mencari kelainan antara kampung dan taman perumahan yang bertanding, Kampung Bukit Duyong memilih konsep warisan tradisional untuk diketengahkan kerana ia perlu diwariskan sepanjang zaman.

“Untuk menampilkan konsep yang dipilih itu kita hiaskan dewan ini dengan tema batik apabila menggunakan kain batik sebagai langsir, selain mempamerkan peralatan tradisional harian seperti tepak sirih, batu giling, batu kisar, dan juga ‘pokdan’ atau kukur kelapa.

Photo1705473001
PANTUN dalam tulisan jawi. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Malah kita juga meminta ahli jawatankuasa untuk menyediakan pantun klasik bertemakan Kampung Bukit Duyong dan Melaka di dalam tulisan Jawi.

“Ini juga adalah untuk memartabatkan kembali pantun seperti yang dihasratkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1740
Kongsi :
Previous post Pelarasan tarif air munasabah – Akmal Nasrullah
Next post Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kekal 289 orang – NADMA
Ubah saiz-+=