Lampu berbentuk COVID-19 hanya kebetulan: Shadan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

 

Mohamad Fazrul Abdul Majid

AYER KEROH 25 Jan. – Lampu dengan reka bentuk unik di bulatan Seri Negeri, Ayer Keroh mencetus reaksi yang pelbagai daripada orang ramai, sejak akhir-akhir ini.

Apa tidaknya, reka bentuk lampu yang kelihatan seolah-olah virus COVID-19 itu menjadikan lokasi berkenaan kini menjadi sebutan ramai.

Ada yang memuji usaha pengindahan itu kerana menyifatkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengikut perkembangan semasa namun, tidak kurang juga ada yang mengecam kerana kononnya mendakwa negeri ini mahu mempromosikan pandemik yang masih menular di negara ini.

Begitupun, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman tampil memberi penjelasan bahawa lampu berkenaan sememangnya berada dalam perancangan pengindahan yang dijalankan pihaknya, namun reka bentuknya hanyalah satu kebetulan menyerupai virus Covid-19.

“Kita tak rancang lampu itu akan jadi seperti itu tetapi kebetulan reka bentuknya jadi seakan-akan virus COVID-19 sehinggakan orang memanggilnya ‘Lampu Covid’.

“Ingin saya jelaskan kita bukan mahu mempromosikan COVID-19, niat asal kita ialah untuk mengindahkan kawasan Ayer Keroh kerana kawasan ini ialah kawasan tumpuan pelancongan dan pintu masuk pelancong ke Melaka.

“Atas nasihat dan saranan kerajaan negeri, kita tampil melakukan kerja-kerja pengindahan sekarang kerana kita tidak mahu orang kata semasa waktu COVID-19 kita duduk diam sahaja. Jadi sebab itulah kita manfaatkan masa yang ada agar kita dapat bersedia menerima kehadiran pelancong apabila wabak ini berakhir,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, kos keseluruhan yang diperuntukkan untuk mengindahkan kawasan Hang Tuah Jaya ialah sekitar RM200,000.

Ujarnya, ia merangkumi kawasan selepas Plaza Tol Ayer Keroh sehinggalah ke Lebuh Ayer Keroh.

“Seperti anda dapat lihat di Lebuh Ayer Keroh iaitu di jejantas berhadapan Melaka Mall sudah ada satu papan tanda terbaharu ‘Allah Peliharakan Negeriku’ yang bercahaya di waktu malam.

“Selain itu, di beberapa kawasan lain juga sudah dipasang lampu pelbagai bentuk dan selepas ini kita juga akan mengindahkan bulatan MITC. Semua itu anda akan dapat lihat pada awal Februari nanti.

“Tidak dinafikan ada juga suara-suara nakal yang mempertikai kenapa perlu membazir pada waktu-waktu sukar ini, tapi perlu saya jelaskan proses pengindahan ini bukanlah pembaziran, sebaliknya ia memang sudah digazetkan pada 2020 lagi,” ujarnya.

-HABIS-

CAPTION:

– Lampu berbentuk virus COVID-19 mencuri pemandangan di bulatan Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto: MR. AZLI

Views:

1471
Kongsi :
Previous post Wang wasiat RM2 juta lesap ditipu ‘polis berpangkat Datuk’
Next post Kluster Bukit Palah, kluster baharu di Melaka
Ubah saiz-+=