Lapan disyaki ahli kongsi gelap ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 7 Sept – Lapan lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan selepas berkumpul di kawasan padang permainan di Taman Ayer Merbau, dekat sini Jumaat lalu.

Semua individu berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua individu ditahan ketika berkumpul di padang permainan di taman berkenaan sambil minum minuman keras.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas tujuh lelaki berkenaan menemui tatu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap 21 dan 08.

KETUA Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali. Foto fail.

“Manakala pemeriksaan ke atas seorang lagi tangkapan tidak menemui sebarang tatu kumpulan kongsi gelap dan kesemua mereka berasal dari Jasin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan semua lelaki terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Bagaimanapun, semua lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000.

“Selain daripada itu tindakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) PPPDPPB (Langkah Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 ke atas semua (8) individu terlibat kerana melanggar SOP berkumpul dan minum minuman keras turut dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata Polis Melaka memandang serius terhadap sebarang aktiviti kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu-individu yang terlibat.

Jelasnya, pihaknya turut menyeru kepada masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu dalam membanteras jenayah di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1868
Kongsi :
Previous post Rampasan kuasa tentera di Guinea: Semua rakyat Malaysia selamat- Kedutaan
Next post Nelayan yakin pelestarian sumber udang galah terjamin
Ubah saiz-+=