Nelayan yakin pelestarian sumber udang galah terjamin

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 7 Sept – Nelayan sungai di Lubok Cina, menyambut baik usaha Jabatan Perikanan melepaskan 100,000 anak udang galah di beberapa sungai Sabtu lalu dalam usaha menjamin kelestarian sumber akuatik itu.

Mereka malah berjanji memelihara sumber udang galah di Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau, Sungai Timun dan Kuala Linggi dengan baik bagi menjamin sumber pendapatan mereka sekarang dan akan datang.

Ketua Jaringan Nelayan Kampung Paya Lebar, Mohamad Jantan, 75, berkata sejak lima tahun lalu jabatan itu sering menganjurkan program melepaskan anak udang galah ke sungai bagi menjamin kelestarian sumber.

MOHAMAD.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana prihatin terhadap nasib kami yang bergantung rezeki kepada hasil tangkapan udang galah.

“Selain berharap udang galah dalam sungai mampu membiak secara semulajadi, kami juga berharap jabatan akan terus membantu usaha meningkatkan pembiakan melalui kaedah melepaskan anak udang ke sungai,” katanya ketika ditemui di Sungai Ramuan Cina hari ini.

Nelayan, Othman Sudin, 65, berkata, tanpa usaha berkenaan, tidak mungkin sumber udang galah mampu dikekalkan kerana selain penangkapan harian yang dilakukan nelayan, sumber itu turut berkurangan akibat aktiviti mengorek pasir sungai.

“Alhamdulillah, walaupun sebelum ini ada aktiviti mengorek pasir sungai, sumber udang galah tetap ada kerana ada usaha melepaskan anak udang galah ke sungai.

“Kalau setakat aktiviti memancing, sumber udang galah tidak mungkin akan pupus tetapi jika aktiviti mengorek pasir sungai tidak dikawal, ia akan pupus,” katanya.

Sungai Ramuan Cina menjadi tumpuan nelayan untuk menangkap udang galah.

Kaki pancing, Azan Ramli, 26, berkata udang galah di sungai berkenaan bukan setakat menjadi tumpuan nelayan tempatan, malah yang dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dan mereka dijangka memenuhi semula sungai itu selepas larangan merentas negeri ditamatkan kelak.

Nelayan menangkap udang galah dengan menggunakan bubu, Abdul Maulud Idris, 60, berkata beliau bimbang udang galah semakin pupus jika tiada usaha pembiakan melalui kaedah melepaskan anak udang ke sungai.

“Jumlah nelayan sungai di Paya Lebar dan kampung lain mencecah hampir 100 dan jika terlalu ramai nelayan menangkap udang galah tetapi tiada usaha membiakkannya, udang akan pupus,” katanya.

Sabtu lalu, sebanyak 100,000 anak udang galah dilepaskan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah; EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramli.

BERITA BERKAITAN: 476,100 benih ikan dan udang dilepaskan

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post Lapan disyaki ahli kongsi gelap ditahan
Next post COVID: 18,547 kes baharu, hari kedua Sarawak catat kes harian tertinggi
Ubah saiz-+=