Lapan individu ditahan terbabit sindiket judi dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 19 Mei. – Lapan individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat sindiket perjudian dalam talian ketika serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini, semalam.

Kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun itu, ditahan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira 3 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner (ACP) Saiful Annuar Yusoff berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjadikan kondominium tersebut sebagai pusat panggilan bagi mempromosi kegiatan perjudian dalam talian untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata premis berkenaan disewa sejak April lalu dengan bayaran RM3,000 sebulan dan pekerja sindiket tersebut dibayar gaji RM2,000 sebulan.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta kepingan kad sim dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan itu, kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan perjudian habis-habisan di ibu kota.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai boleh salurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Polis Kuala Lumpur di talian 032146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post Penganggur didakwa pukul, ludah anggota RELA
Next post Konstabel polis didakwa bunuh rakan sekerja
Ubah saiz-+=