Lapan negara tolak cadangan tangguh Sukan SEA ke tahun depan- MOM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 9 Jun – Lapan negara termasuk Malaysia menolak cadangan penganjur Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam untuk menangguhkan temasya dwitahunan itu ke Mei atau Jun tahun depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penolakan cadangan itu bagi memberi ruang kepada penganjur untuk mengemukakan tawaran baharu yang boleh memuaskan hati semua negara bertanding, dalam tempoh dua minggu lagi.

“Lapan negara menolak cadangan itu termasuk Malaysia, dua negara termasuk Vietnam menyokongnya manakala Laos tidak membuat keputusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Norza berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata situasi COVID-19 yang melanda dunia ketika ini merupakan alasan dikemukakan Vietnam untuk menangguhkan Sukan SEA ke tahun depan.

Isnin lalu, Bernama melaporkan Mohamad Norza tidak bersetuju dengan cadangan penangguhan itu memandangkan atlet negara bakal mengharungi kalendar sukan yang padat seperti penyertaan di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4-20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September).

Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember depan.

Vietnam menyenaraikan 520 acara daripada 40 jenis sukan untuk edisi tahun ini.

Ini merupakan kali kedua Vietnam menganjurkan Sukan SEA selepas kali pertama pada 2003.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post 10 atlet senarai menunggu dijangka layak ke Sukan Paralimpik Tokyo
Next post Pelan tindakan DSMN 2021-2025 jamin siap siaga hadapi krisis sekuriti makanan
Ubah saiz-+=