Laporan ujian darah pemandu didakwa mabuk belum diperoleh

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 1 Dis – Polis masih menunggu laporan ujian darah pemandu yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Jalan Klebang, di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sampel darah lelaki berusia 42 tahun itu sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesan kandungan alkohol pemandu terbabit.

“Saya sahkan kemalangan betul berlaku dan sampel darah (pemandu) sudah dihantar.

“Polis sedang menunggu laporan kimia selain saya tidak boleh katakan (mabuk atau tidak) sehingga laporan diperoleh,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam, mendakwa pemandu sebuah kereta maut akibat dirempuh sebuah lagi kereta yang dipandu pemandu mabuk.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil anaknya pulang bekerja.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam Isnin lalu, pemandu Proton Wira, Abdul Rahim Mohamad, 53, maut dilokasi kejadian manakala tiga anaknya yang juga penumpang kereta cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan Nissan Teana.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Nissan Teana yang datang dari arah Limbongan menghala ke Klebang dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa.

“Sejurus selepas pertembungan itu kereta mangsa kemudian berpusing sekali dan melanggar tiga buah motosikal yang datang dari arah sama menyebabkan ketiga-tiga penunggang cedera,” katanya.

Hasan berkata, akibat daripada kemalangan itu tiga anak mangsa turut cedera dan dirawat di Hospital Melaka.

“Anak mangsa berusia 11 tahun yang juga penumpang hadapan mengalami retak siku kanan dan luka di kaki manakala dua lagi berusia 13 dan 20 tahun mengalami pendarahan di kepala serta perut dan patah kaki kanan.

“Pemandu Nissan Teana pula patah kaki kanan dan dia turut diambil darah bagi ujian dadah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Views:

932
Kongsi :
Previous post Dua kanak-kanak ditemukan lemas di kolam tadahan air di Mersing
Next post Harga barangan keperluan asas meningkat bukan berpunca daripada peniaga – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=