Harga barangan keperluan asas meningkat bukan berpunca daripada peniaga – PM Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PUTRAJAYA, 1 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang hari ini turun padang meninjau harga barang di sini, mengakui terdapat peningkatan harga barangan keperluan harian ketika ini.

Namun, katanya kenaikan yang berlaku bukan berpunca daripada peniaga.

Beliau berkata situasi tersebut berlaku disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga.

“Memang benar harga barangan keperluan naik ketika ini. Kenaikan ini bukan berpunca daripada peniaga dan pemborong. Saya lihat ia berpunca daripada rantaian bekalan.

“Sebagai contoh harga ayam. Penternak ada kos, kilang ada kos, pemborong ada kos. Jadi bila sampai kepada peniaga, harga sudah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih di sini.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari penyelesaian terhadap situasi tersebut.

“Dalam masa sama, kita (kerajaan) kena lihat isu penglibatan orang tengah secara serius,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.

“Untuk permulaan kita akan bawa masuk 200 kontena dahulu,” katanya dan menambah bahawa bekalan ayam sejuk beku import itu dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya minggu depan.

Ismail Sabri berkata harga ayam tempatan ketika ini dijual pada harga yang tinggi berbanding sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

683
Kongsi :
Previous post Laporan ujian darah pemandu didakwa mabuk belum diperoleh
Next post Tiada pilihan, peniaga makanan terpaksa naikkan harga
Ubah saiz-+=