Lebih 150,000 tan karbon dioksida setara, pengurangan pelepasan GHG dicatat pada 2021

Share and Enjoy !

Shares

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Sebanyak 157,923.23 tan karbon dioksida setara dikurangkan bagi pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi Zon Rendah Karbon oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengurangan sebanyak 12,975.85 tan karbon dioksida setara lagi dicatat oleh rakan kongsi rendah karbon yang mendapat pengiktirafan.

“Sebanyak 13 Zon Rendah Karbon dan 30 Rakan Kongsi Rendah Karbon menerima pengiktirafan Diamond bagi inisiatif pengurangan pelepasan GHG dalam lima elemen utama iaitu tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan,” katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor.

Tuan Ibrahim berkata sebanyak 33 bandar sasaran dikenal pasti di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon untuk mencapai pengurangan pelepasan GHG mutlak yang tinggi.

Sehingga kini, beliau berkata 70 PBT diberi pendedahan konsep dan pembangunan kapasiti menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.

“Daripada jumlah itu, 41 PBT terlibat aktif melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon di bawah program anjuran MGTC.

“Sebagai galakan bagi mengukuhkan pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperkenalkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta. Geran ini akan diberikan kepada PBT seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata setakat ini 18 PBT di Kelantan, Terengganu, Sarawak, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan telah melakukan projek bandar rendah karbon di bawah peruntukan GeRAK.

Tuan Ibrahim berkata pelaksanaan GeRAK dijangka melibatkan 146 syarikat tempatan di seluruh negara dengan potensi pengurangan GHG kira-kira 110,969 tan karbon dioksida setara.

Beliau berkata 141 PBT telah menerima peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di pekarangan awam.

Sementara itu, Shamsul Bahar berkata Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 telah diperkenalkan sejak 2011 memberi fokus kepada aspek Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) dan sistem penilaian.

“Istilah ‘challenge’ atau cabaran di bawah inisiatif ini merujuk kepada cabaran yang diletakkan kepada PBT dan organisasi untuk mengurangkan gas rumah kaca di bawah kawasan tadbir urus mereka,” katanya.

Shamsul Bahar berkata inisiatif itu yang dilancarkan pada 2019 dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan aplikasi LCCF.

Sementara itu, Anugerah Bandar Rendah Karbon bertujuan mengiktiraf komitmen PBT, badan-badan kerajaan dan organisasi swasta dalam pengurangan pelepasan gas rumah kaca menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6

Share and Enjoy !

Shares
Previous post MPHTJ raih anugerah ‘Diamond’ bagi zon dan rakan kongsi Bandar Rendah Karbon
Next post Pengubahan wang haram: Pegawai kanan polis dipenjara 10 tahun, denda RM42 juta