Lebih 200,000 pekebun kecil RISDA terima bantuan musim tengkujuh

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LIPIS, 25 Okt – Seramai 232,319 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima bantuan musim tengkujuh (BMT) tahun ini, melibatkan peruntukan RM191 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pembayaran itu akan dibuat bermula November ini seperti biasa, kerana ia tidak terkesan dengan tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula 5 Nov ini.

“Pembayaran akan dilaksanakan bergantung bila wang tersebut dimasukkan ke RISDA. Kalau awal mereka terima, maka lebih awal pembayaran dibuat.

“Senarai penerima juga sudah ada dan kita hanya tunggu peruntukan sahaja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Pahang 2022 di Kampung Mela di sini hari ini, yang turut disertai Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Mahdzir berkata sebanyak RM508.02 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara melibatkan program tanam semula, program produktiviti dan pemasaran, program hasil baru dan program keusahawanan.

Bagi RISDA Pahang, Mahdzir berkata sebanyak RM74.1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan pekebun kecil di negeri ini, selain sasaran penanaman semula getah seluas 16,596 hektar.

Selain itu, beliau berkata projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Mela Fasa Dua di sini dengan kos RM38 juta, kini dalam proses reka bentuk dan dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Katanya terdapat pelbagai lagi projek pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan nilai RM15 juta dalam kawasan Parlimen Lipis, antaranya melibatkan jalan luar bandar, kemudahan sosial dan baik pulih rumah.

Terdahulu, beliau menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersial (TSK) kepada 5,590 peserta di Pahang berjumlah RM39.39 juta pada majlis itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2047
Kongsi :
Previous post Getir Syasya berbayar emas
Next post Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh di Serendah
Ubah saiz-+=