Getir Syasya berbayar emas

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

TERPAKSA mengharung kesakitan memegang kayu mop dengan tangan lurus dan paha terpaksa dirapatkan merupakan antara ‘azab’ yang terpaksa ditempuh gadis kecil molek berasal dari Nyalas yang baru berusia 13 tahun untuk bergelar seorang atlet angkat berat.

Itu rutin yang terpaksa dilalui Nurul Syasya Khairina Samsur, selama tiga bulan di sebuah garaj di Kampung Kesang Tua, Jasin.

Kata pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas itu, latihan berat yang terpaksa dilalui itu pernah membuatkannya hampir nekad untuk melupakan sukan tersebut.

Namun, apabila melihat pengorbanan bapanya, Samsur Midon, 53 yang sanggup berulang-ulik sejauh 55 kilometer untuk menghantarnya berlatih setiap hari, menaikkan semula semangatnya untuk menjadi atlet angkat berat kebanggaan Melaka.

Semangatnya semakin membara apabila apabila dia merasai sendiri pengalaman berlatih dan berguru dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari Filipina, Hidilyn Diaz sepanjang lapan bulan sejak 10 November 2020.

“Ketika saya Darjah 5, saya aktif mewakili sekolah dalam sukan lontar peluru, kemudian di sekolah saya ada pemilihan sukan angkat berat, jadi saya sertai sekadar suka-suka walaupun tidak tahu apa-apa mengenai sukan itu.

“Selepas terpilih, saya bertuah kerana dapat berlatih dengan Hidilyn dan dari situlah saya mula belajar teknik permulaan menggunakan kayu mop selama tiga bulan.

“Pada waktu itu saya selalu menangis, rasa hendak ‘give-up’ namun saya pendamkan saja dan kuatkan azam sehinggalah akhirnya saya sudah biasa apabila latihan beralih kepada besi 10 kilogram (kg) dan 15kg,” katanya ketika ditemu bual dalam program bual bicara Melaka Hari Ini (MHI) Asam Pedas Gula Melaka di Studio Melaka TV, Ayer Keroh.

Siapa dapat menyangka semangat dan kerja keras Nurul Syasya akhirnya berbayar apabila satu demi satu gelaran pingat emas diraihnya, antaranya Kejohanan Angkat Berat di Johor dan Melaka pada tahun ini.

Namun yang paling manis ialah apabila dia menempa sejarah sebagai atlet pertama Melaka menghadiahkan kilauan emas angkat berat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercakap tentang kejayaan di Sukma 2022 itu, Nurul Syasya mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dia terpaksa menurunkan berat badan sehingga enam kilogram bagi menyertai acara untuk kategori 49 kilogram.

“Sebelum ini kejohanan di Johor, kategori yang saya sertai adalah 55 kilogram, jadi saya perlu kurangkan enam kilogram dengan mengamalkan diet 100 peratus tanpa nasi selama tiga minggu.

“Pagi, saya makan telur dua biji, tengah hari makan ayam rebus dan malam hanya minum air bagi mendapatkan berat badan diperlukan,” katanya.

syasya 1
NURUL Syasya Khairina Samsur, 13, disisi ayahnya, Samsur Midon, 53, menunjukkan pingat emas Sukma 2022 yang dimenanginya dalam acara angkat berat 49 kilogram wanita. Foto: MR. AZLI

Tambah bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas pada acara akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya itu, dia mengakui pada awalnya gugup memandangkan terpaksa berdepan saingan hebat terutama daripada atlet senior seperti Nelcy Tunik, 21, dari Sabah, sedangkan dia baru pertama kali menyertai sukan dwi tahunan itu serta atlet termuda dalam kategori 49 kilogram.

“Saya banyak dengar cerita mengenai Nelcy (pemenang pingat emas kategori sama dalam Sukma 2018), saya takut dan gementar. Alhamdulillah saya dapat menewaskan dia.

“Selepas ini, saya akan membuat persiapan dalam Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior di Sabah pada 2 hingga 7 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Samsur berkata, sebagai bapa dia sanggup mengorbankan masa dan keringatnya demi melihat anak perempuannya berjaya dalam sukan yang dipilih.

Katanya, dia dan isteri menyokong penuh hasrat anak-anak untuk menceburi bidang sukan dan yakin Nurul Syasya mampu menggapai kemenangan dalam setiap kejohanan disertai.

“Sebagai ayah, saya lebih terbuka untuk dia dan anak-anak lain menceburi bidang sukan dan saya yakin Nurul Syasya mampu kerana dia antara anak yang lasak.

“Jadi, sejak Nurul Syasya terlibat dalam sukan ini, saya bertanggungjawab untuk menjaga disiplin dan latihannya serta memantau pemakanannya.

“Selepas kejayaannya, kami sekeluarga sedang menunggu surat rasmi dari Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahu menempatkan Nurul Syasya di Sekolah Sukan Bukit Jalil bagi membolehkan dia dilatih untuk menjadi atlet pelapis negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2465
Kongsi :
Previous post Sultan Nazrin berkenan rasmi sambutan Hari Hutan Antarabangsa Perak
Next post Lebih 200,000 pekebun kecil RISDA terima bantuan musim tengkujuh
Ubah saiz-+=