Lebih 3,000 meriahkan Perarakan Wangkang 11 Januari ini

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDA HILIR 8 Januari – Lebih 3,000 peserta dijangka hadir bagi bersama-sama memeriahkan upacara Perarakan Wangkang secara besar-besaran pada 11 Januari depan.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, upacara sebagai simbolik kepada elemen kebaikan dan perpaduan itu merupakan antara tradisi masyarakat Baba dan Nyonya yang asalnya datang daripada Wilayah Fujian, China.

Ronald yang juga Pengerusi Muzium Wangkang Melaka berkata, perarakan disertai lebih 43 kumpulan itu akanmembawa sebuah kapal Wangkang dinamakan sebagai KR Kapal Raja Perpaduan Aman sepanjang 10 meter diiringi dua replika kapal lain.

“Perarakan hampir 9.5 kilometer ini akan diadakan bermula pada jam 8.30 pagi dari Muzium Wangkang Melaka berarak menuju ke Jalan Parameswara, Jalan Bukit Senjuang, Munshi Abdullah, Hang Tuah, Gajah Behrang, Om Kim Wee, Jonker sebelum berpatah semula ke muzium ini.

“Perarakan membabitkan 22 perhentian ini sebagai simbolik menjemput roh-roh atau ‘hantu’ tidak mempunyai rumah dan kelaparan untuk dibawa menaiki kapal wangkang yang juga dinamakan sebagai kapal Hokkien sebelum dihantar ke alam lain.

“Pada sebelah malam, acara diteruskan dengan mengadakan perarakan ke Pulau Melaka iaitu lokasi tapak Melaka Gateway bagi upacara utama iaitu membakar replika kapal ini sebagai simbolik penghantaran roh-roh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Muzium Wangkang Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Kerk Chee Yee; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Leng Chau Yen.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr. Tan Awang Besar; Pengerusi Persatuan Penyelidikan Kebudayaan Xiamen Minnan, Ye Xi Zhi; Pengerusi Cheng Hong Teng Incorporation, Lee Eng Chow dan Pengerusi Jawatankuasa Yong Chuan Tian, Gan Suan Hong.

Menurutnya, Perarakan Wangkang disenarai sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu diperluaskan dan dipromosikan lagi bagi memastikan budaya tradisi Baba dan Nyonya itu didedahkan kepada rakyat negeri ini.

Katanya, lebih menarik upacara penuh simbolik itu hanya akan dianjurkan pada tarikh tertentu yang ditetapkan sahaja.

“Kali terakhir upacara ini diadakan adalah pada 2020 dan sekali lagi dianjurkan tahun ini, dijangkakan upacara ini bakal diadakan semula pada 2031,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal cedera dihempap pokok
Next post Muzium Wangkang pertama di Malaysia, tarikan pelancongan baharu di Melaka
Ubah saiz-+=