Muzium Wangkang pertama di Malaysia, tarikan pelancongan baharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 8 Januari – Pembukaan Muzium Wangkang Melaka sebagai produk baharu pelancongan negeri ini mampu menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembukaan muzium di Jalan Parameswara itu sekali gus mampu menjadi pusat rujukan para penyelidik dan ahli akademik mendapatkan maklumat jelas berkaitan perayaan kebudayaan itu.

Katanya, muzium itu turut disenaraikan sebagai warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Terdapat 14 muzium ini dibuka di negara China dan di Malaysia hanya Melaka sahaja yang beroperasi setakat ini.

“Perarakan Wangkang di Melaka yang menerima pengiktirafan bersama Wilayah Xiamen,China sebagai Warisan Tidak Ketara oleh UNESCO merupakan satu pengiktirafan bermakna bagi negeri ini sekali gus mampu memperkasa sektor pelancongan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu khususnya wakil daripada Wilayah Xiamen dalam usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Muzium Wangkang Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr. Tan Awang Besar; Pengerusi Muzium Wangkang Melaka, Datuk Ronald Gan; Pengerusi Persatuan Penyelidikan Kebudayaan Xiamen Minnan, Ye Xi Zhi; Pengerusi Cheng Hong Teng Incorporation, Lee Eng Chow dan Pengerusi Jawatankuasa Yong Chuan Tian, Gan Suan Hong.

Dalam pada itu, menurutnya, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh kepada penganjuran Perarakan Wangkang di Melaka dijadualkan dianjurkan pada 11 Januari depan.

“Satu perarakan besar-besaran akan diadakan di Melaka pada 11 Januari ini bagi menjayakan perarakan Wangkang di mana perarakan ini bukanlah upacara yang disambut secara berkala tetapi disambut dalam jarak tempoh yang agak lama.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dan perhatian kepada perarakan ini demi mewujudkan sebuah kerajaan yang harmoni, lestari di bawah Kerajaan Perpaduan yang ada di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2770
Kongsi :
Previous post Lebih 3,000 meriahkan Perarakan Wangkang 11 Januari ini
Next post Bina menara telekomunikasi di Paya Lebar
Ubah saiz-+=