Bina menara telekomunikasi di Paya Lebar

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 8 Januari – Pembinaan menara telekomunikasi di Paya Lebar akan disegerakan bagi mengatasi masalah liputan internet jalur lebar khususnya di lokasi Eco-Cruise Sungai Linggi yang kini menjadi produk ekopelancongan terbaharu Negeri Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, masalah yang dihadapi penduduk kawasan itu mampu diselesaikan dengan adanya menara telekomunikasi yang akan memberi liputan dalam radius lebih luas.

Jelasnya, permasalah liputan internet di kawasan itu sudah dalam pengetahuan Kerajaan Negeri selain Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga sudah mengarahkan tindakan segera diambil bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Bersama-sama Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) kita sudah membuat surat aduan dan pemakluman kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) negeri, hal ini dalam tindakan untuk diselesaikan.

“Selain kita juga sedang menunggu kelulusan peruntukan bajet khas untuk membina satu menara di kawasan itu malah untuk lokasi pembinaan menara terdapat dua cadangan sama ada berhampiran jeti Paya Lebar atau masjid berhampiran,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, jangkaan kerja pembinaan menara telekomunikasi itu akan selesai dalam tempoh kira-kira tiga bulan, namun bergantung kepada kelulusan bajet.

“Apabila siap kelak ia akan memberikan perkhidmatan telekomunikasi yang baik bukan sahaja untuk penduduk setempat bahkan juga kepada pengunjung yang datang ke kawasan itu bagi menelusuri Sungai Linggi.

“Jadi kepada pelancong yang ingin datang ke Paya Lebar, mereka tidak perlu risau akan masalah liputan internet kerana Kerajaan Negeri Melaka menyediakan kemudahan terbaik pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1930
Kongsi :
Previous post Muzium Wangkang pertama di Malaysia, tarikan pelancongan baharu di Melaka
Next post Kurus sebab kurang sihat bukan tak cukup makan
Ubah saiz-+=