Lebih 400,000 individu bawah 18 tahun dijangkiti COVID-19 tahun ini – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Lebih 400,000 kes jangkitan COVID-19 melibatkan individu bawah 18 tahun direkodkan tahun ini, meningkat daripada sekitar 12,000 pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 252,569 adalah murid sekolah manakala 42,831 lagi melibatkan kanak-kanak prasekolah dan lebih membimbangkan 67 kes kematian telah dicatatkan tahun ini.

“Adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan anak-anak terhindar daripada COVID-19 dengan memastikan persekitaran selamat buat mereka termasuk mengambil langkah pencegahan dan perlindungan sewajarnya,” katanya dalam ucaptama sempena Webinar Hidup Bersama-sama Virus COVID-19 : Kanak-kanak dan Remaja hari ni.

KHAIRY Jamaluddin pada

Khairy berkata, bagi melindungi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, kerajaan telah melaksanakan vaksinasi kepada golongan itu sebagai satu ikhtiar untuk melindungi mereka daripada COVID-19.

Berdasarkan perincian portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 43 peratus atau 1,352,870 remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat semalam.

Khairy berkata, walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk COVID-19, tetapi ia belum mencukupi, sebaliknya pembudayaan amalan normal baharu perlu terus dipraktik bagi mengelakkan risiko jangkitan.

“Antara yang perlu kita amal dan terapkan kepada anak-anak termasuk memakai pelitup muka sepanjang masa; membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif COVID-19 dan melakukan saringan di pintu masuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga adalah satu persiapan dan persediaan warga sekolah serta ibu bapa untuk anak-anak mereka yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Khairy berkata, ibu bapa perlu memberikan sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada mereka telah divaksin atau tidak selain membudayakan cara hidup sihat antaranya dengan mempraktikkan hidup aktif, makan secara sihat dan selamat serta menjauhi amalan merokok.

“Kesihatan rakyat bergantung kepada kerjasama semua pihak…dalam berhadapan dengan COVID-19 tiada seorang pun yang selamat daripada jangkitan, sehingga setiap orang selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Lebih 3,000 anak asnaf akan terima tablet – MAIM
Next post MAQIS rampas daging lembu wagyu dari Australia tiada permit import
Ubah saiz-+=