Lebih 500 penduduk dipindahkan ke tujuh PPS akibat banjir kilat

0
855
PAPAN tanda peringatan banjir di pasang di jalan masuk ke Taman Tuah Perdana, Bukit Katil. Foto: MR. AZLI

AYER KEROH 17 Mei. – Seramai 128 keluarga membabitkan 554 individu dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini akibat banjir kilat melanda tiga daerah sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah itu direkodkan setakat jam 8 pagi tadi berbanding 107 keluarga dipindahkan pada malam tadi.

Katanya, satu PPS masing-masing dibuka di daerah Alor Gajah dengan menempatkan seramai 13 keluarga di Dewan Japerun Durian Tunggal manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen menempatkan 17 keluarga.

PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

“Bagi daerah Melaka Tengah, setakat ini sebanyak lima PPS dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir yang menempatkan 38 keluarga manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek menempatkan 37 keluarga.

“PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Minyak menempatkan seramai 17 keluarga manakala SMK Bukit Rambai seramai enam keluarga.

“Satu lagi PPS yang baru dibuka iaitu SJKC Malim masih lagi dalam proses pemindahan keluarga akibat hujan lebat malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cuthbert berkata, setakat jam 8 pagi tadi, sembilan kawasan dikenal pasti terjejas banjir di daerah Melaka Tengah iaitu Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari dan Taman Rambai Jaya.

Turut terjejas banjir kawasan Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak dan Kampung Pengkalan Batu serta Rumah Awam Ayer Molek.

KEADAAN kawasan perumahan penduduk yang dinaiki air banjir di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil. Foto: MR. AZLI

“Bagi daerah Jasin, tiga kawasan dikenal pasti terjejas banjir adalah di Taman Hang Tuah Perdana, Lubok Kasau Bemban dan Tanjung Laboh Tehel.

“Manakala di daerah Alor Gajah, air naik di kawasan Kampung Bukit Tambun; Kampung Bukit Balai; Kampung Padang Keladi dan Taman Kasuwari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.