Lebih 90 peratus pelajar yakin untuk ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 15 Julai – Lebih 90 peratus pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis hadir ke sekolah pada hari pertama pembukaan semula sesi bagi Tingkatan Satu hingga Empat.

Perkembangan positif itu menunjukkan ibu bapa semakin yakin untuk membenarkan anak-anak masing-masing memulakan sesi persekolahan selepas hampir empat bulan pusat pendidikan di seluruh negara ditutup akibat Covid-19.

Pengetua SMK St Francis Cheong Lee Chin

Pengetua SMK St Francis Cheong Lee Chin berkata, bagi persediaan menghadapi situasi itu semua guru mengambil tanggungjawab untuk berada di sekolah seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

Katanya, malah komunikasi dua hala antara ibu dan guru juga dilakukan menerusi kumpulan aplikasi Whatsapp bagi menyalurkan sebarang maklumat mahupun pengumuman berkaitan sekolah.

“Sekiranya ibu bapa yang masih was-was atau anak mereka mempunyai gejala ringan, tidak perlu ke sekolah tetapi perlu memaklumkan kepada pihak sekolah selain membuat surat.

“Guru dan pekerja sekolah juga mengambil inisiatif untuk mempamerkan bunting dan diletakkan di pintu masuk sekolah selain menampal penandaan dari segi laluan keluar masuk pelajar serta menyusun semula aturan meja dan kerusi mengikut penjarakan sosial.

“Malah Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) turut menyalurkan sumbangan seperti alat pemeriksaan suhu dan skrin layar LCD,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada hari pertama sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, seramai 832 daripada 894 keseluruhan pelajar atau 93.6 peratus hadir ke sekolah.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Madelina W.L Kuah berkata sekolah berkenaan tidak dibantu sepenuhnya oleh kerajaan jadi ibu bapa dan guru persatuan berkenaan sentiasa bekerjasama demi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjaga.

“Kita memberi bantuan dari segi makanan dan kebajikan bagi pelajar yang memerlukan, malah sepertimana hari pertama sekolah, lima atau enam ahli PIBG akan berada di sekolah pada setiap pagi untuk membantu pihak sekolah memudahkan proses persekolahan anak-anak,” katanya

Views:

320
Kongsi :
Previous post Norma baharu tidak jadi masalah
Next post Pengusaha pokok karas perlu berdaftar dengan MTIB
Ubah saiz-+=