Lebih banyak program kebajikan dianjur BISTARI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Persidangan Mesyuarat Agung Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka (BISTARI) kali ke-41 disifatkan amat bermakna kerana akan merangka lebih banyak program kebajikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha yang dijalankan BISTARI terutamanya sebagai wadah untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri membantu melaksanakan aktiviti kebajikan dan menyantuni rakyat yang memerlukan amat dialu-alukan.

“Saya percaya, melalui Mesyuarat Agung pada hari ini, BISTARI akan lebih terbuka untuk mengorak langkah penambahbaikan, baik daripada segi prestasi mahupun gerak kerja untuk berada pada suatu tahap membanggakan.

“Untuk itu saya juga berharap Mesyuarat Agung kali ke-41 ini mesti dijadikan yang lebih bermakna dalam perjuangan kita dengan menyusun lebih banyak program bukan sahaja berfokuskan kepada amal kebajikan tetapi juga menyantuni rakyat termasuklah kaum wanita yang kurang bernasib baik begitu juga orang kurang upaya (OKU), warga emas serta ibu tunggal,” katanya.

Beliau yang juga penasihat BISTARI berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung BISTARI Kali-41, di Seri Bendahara, hari ini.

Whatsapp Image 2024 06 30 At 1.35.19 Pm

AB Rauf  diiringi Zuriyah ketika  menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung BISTARI Kali-41, di Seri Bendahara, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BISTARI Negeri Melaka, Datin Seri Utama Zuriyah Abd Aziz.

Ab Rauf berkata, dalam bergerak aktif seiring dengan hala tuju yang ditetapkan, kebersamaan dan kesepakatan perlu menjadi keutamaan serta dijaga.

“Dengan keahlian yang kini mencecah 56 orang, saya yakin BISTARI lebih komited
mengukuhkan ukhwah sesama ahli untuk bergerak bersama-sama dalam melaksanakan pelbagai program selain saling menjaga kebajikan ahli sendiri.

“Selain, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) saya percaya BISTARI dapat menjadi contoh dan ikutan kepada badan-badan sukarelawan di luar sana untuk bergerak aktif seiring dengan hala tuju yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf turut mengumumkan sumbangan RM200,000 diberikan kepada BISTARI dalam merangka dan merancang lebih banyak aktiviti kebajikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

50
Kongsi :
Previous post Teater Hikayat Hang Tuah buka minda generasi muda
Next post ‘Angkat kembali adat perkahwinan orang Melayu’
Ubah saiz-+=