Lebih RM 78 juta diselamatkan Bomba Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT KATIL 19 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima sebanyak 786 kes panggilan kecemasan berkaitan kebakaran sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarah JBPM Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata daripada jumlah itu sebanyak empat kes melibatkan kematian dan tiga kes melibatkan kecederaan.

Katanya, sebanyak 1,245 kes pula dilaporkan bagi panggilan kecemasan penyelamatan dan daripada jumlah itu 22 kes melibatkan kecederaan dan lima kes melibatkan kematian.

“Daripada kesemua kes, dengan jumlah RM 78,890,456.29 nilai harta benda dapat diselamatkan oleh pihak JBPM Melaka meliputi kes kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas bagi tahun 2022.

“Manakala sebanyak RM 8,932,066.71 nilai kerugian dianggarkan menerusi laporan Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Perhimpunan Dwi Tahunan 2022 JBPM Negeri Melaka Bulan Julai di Balai Bomba Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata sebanyak 1,214 kes dilaporkan bagi panggilan kecemasan khidmat khas JBPM Melaka untuk tempoh Januari hingga Julai dan tidak melibatkan kematian atau kecederaan.

Ujarnya, untuk panggilan palsu, setakat hari ini tiada kes sedemikian dilaporkan pihak JBPM Melaka.

Namun, untuk kes kebakaran lalang pada bulan lalu iaitu pada tempoh cuaca panas berpanjangan, terdapat peningkatan panggilan namun ia tidak berada di tahap serius.

“Kebakaran lalang, kita terima peningkatan laporan namun pihak JBPM Melaka sentiasa pantas ke lokasi dan tidak menyebabkan kes yang serius,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1953
Kongsi :
Previous post Festival Masakan Warisan Melaka tampil 30 hidangan tradisi
Next post Pengunjung muzium meningkat 80,000
Ubah saiz-+=