Lebih RM276.2 juta diperuntukkan demi perkasa pendidikan Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

BUKIT BERUANG 8 November – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM276.2 juta bagi memperkasakan sistem pendidikan di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri (Tapem) sejak tahun 2000 itu melibatkan 11 inisiatif dan disalurkan kepada 219,336 pelajar di negeri ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan memastikan pelbagai sumbangan dan inisiatif berterusan akan dipanjangkan bagi memastikan sistem pendidikan di Melaka mampu mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

“Menerusi Tapem, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM276,210,051.57 menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk dermasisiwa, biasiswa dan pinjaman kepada anak jati negeri ini bagi digunakan untuk memperkasa sistem pendidikan demi mencapai kecemerlangan pelajar.

“Penambahan dana ini juga akan berterusan sehinggakan tahun ini kerajaan negeri turut menambah RM300,000 daripada peruntukan asal sebanyak RM700,000 menggenapkan sebanyak RM1 juta bagi memperkasa pelbagai program membabitkan teknik menjawab soalan, ceramah dan sebagainya untuk pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM), Sijil Tingga Agama Malaysia (STAM) dan pelbagai lagi.

“Sejak 2000 hingga 2022 11 inisiatif yang telah dilaksanakan antaranya adalah bantuan Pembukaan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi), Bantuan Pelajar Sekolah Rendah, Biasiswa Melaka, Pinjaman Wang Pengajian Tinggi, Dermasiswa dan pelbagai lagi akan dilaksanakan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Care SPM dan STPM diadakan di Universiti Multimedia Melaka (MMU) di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa membuka pelbagai peluang buat pelajar anak jati di Melaka bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dari mencapai kecemerlangan dalam sistem pendidikan pada masa akan datang.

20221108093651_IMG_1785-01
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berucap sempena Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Care SPM dan STPM 2022 anjuran bersama Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), Jabatan Pendidikan Negeri dan Multimedia Universiti (MMU) di Multimedia Universiti (MMU), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, pihaknya menerusi pelbagai agensi termasuk Tapem akan sentiasa peka dengan perkembangan pembangunan pendidikan di Melaka sekali gus mencapai hasrat Kerajaan Negeri menerusi ‘flagship’ ketujuh dalam Pelan Stategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) menjelang tahun 2035.

“Kalau anak pelajar negeri ini mencapai kecemerlangan kita akan pastikan usaha ini berterusan dan akan menambah peruntukan ini tapi ini bergantung kepada pelajar-pelajar kita, kerana kita lihat seperti tahun-tahun lalu sambutannya mencapai kecemerlangan memang terbaik.

“Eloklah kita terus sambung pada tahun akan datang tapi dalam masa sama kita mesti kena tahu produk yang dihasilkan dan sistem yang digunakan mencapai mengikut peredaran zaman kerana jika ia tidak sesuai semua pihak perlu peka untuk melaksanakan penambahbaikan agar pendidikan anak-anak hari ini seiring dengan zaman mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam program diadakan selama tiga hari itu merupakan penganjuran edisi ketiga dianjurkan Tapem tahun ini membabitkan 561 peserta termasuk pelajar dan guru terlibat dari enam buah sekolah di Melaka.

Program diadakan membabitkan teknik menjawab soalan dan ceramah motivasi diadakan kali ini sekali gus mampu memperkasa dan memperkemaskan persiapan calon SPM dan STPM yang bakal menduduki peperiksaan itu pada Mac akan datang.

Program itu turut diakhiri dengan penyampaian replika cek kepada 11 buah sekolah dan institusi agama di negeri ini yang menduduki STAM membabitkan 557 pelajar dengan menelan peruntukan sebanyak RM329,388.90.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1708
Kongsi :
Previous post Anggota polis maut kemalangan di Jambatan Pulau Pinang
Next post Vida mengaku tidak bersalah hantar video bersifat sumbang
Ubah saiz-+=