Lebih RM8 juta kompaun dikenakan kepada majikan gagal patuh Akta 446

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Sebanyak RM8,078,900 kompaun dikenakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui 1,621 kertas siasatan kepada majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Penginapan Pekerja 1990 (Akta 446).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh tiga tahun sejak tahun 2020 sehingga hari ini dengan tindakan pendakwaan yang diambil membabitkan denda sejumlah RM1.4 juta.

“JTKSM memandang serius terhadap aspek kebajikan dan pusat penginapan pekerja yang tidak terurus oleh majikan.

“Kita sentiasa mempergiatkan aktiviti perburuhan sama ada melalui penguatkuasaan mahupun pendidikan berhubung Akta 446 bagi memastikan majikan menyediakan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ).

“Antara syarat yang ditetapkan, ruang tempat tidur mestilah seluas 3.6 meter persegi, penggunaan satu bilik air untuk15 orang atau satu bilik air untuk enam orang bagi pangsapuri, penyediaan katil beserta tilam setebal empat inci, almari berkunci, tempat makan serta tempat riadah yang selesa,” katanya.

photo_2023-08-07_14-51-52
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem bergambar bersama peserta sempena Perasmian Program Pendidikan Perburuhan Executive Talk Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab dan Pengarah JTK negeri, Johana Bakar. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pendidikan Perburuhan Executive Talk Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 yang dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JTK negeri, Johana Bakar.

Ujarnya, jika majikan gagal menyediakan penginapan yang selesa dan sempurna kepada pekerja, tindakan tegas bakal dikenakan terhadap majikan berkenaan.

“Ini kerana (majikan) mengabaikan soal keselesaan, keselamatan dan kebersihan tempat penginapan pekerja mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1622
Kongsi :
Previous post UTeM bantu pelajar cemerlang kurang mampu masuk universiti
Next post Tiada lesen perniagaan, enam premis di Pengkalan Balak dikompaun
Ubah saiz-+=