UTeM bantu pelajar cemerlang kurang mampu masuk universiti

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MELAKA, 7 Ogos – Nasib pelajar cemerlang, Nabilah Zainuddin yang berdepan kesulitan untuk melanjutkan pelajaran disebabkan kesusahan hidup keluarganya, hari ini mendapat perhatian pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Nabilah, 18, dari Alai di sini menerima bantuan universiti itu menerusi Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah tajaan pakej Anak Emas UTeM bagi kategori pelajar susah dan mempunyai latar pendidikan cemerlang.

Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin berkata tajaan itu diberikan berdasarkan maklumat mengenai pelajar tersebut yang mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan, tetapi tidak dapat memulakan pengajian disebabkan kekangan kewangan keluarga.

“UTeM berbesar hati menghulurkan sumbangan awal bagi memulakan pengajian kepada Nabilah berupa pembiayaan penuh yuran pengajian semester satu sebanyak RM914.

“Pihak kami juga akan membayar elaun sara hidup RM500 sebulan bagi memudahkan urusan beliau memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nabilah di rumahnya di Alai, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Massila berkata pelajar tersebut telah mendaftar secara rasmi dan memulakan pengajian semester satu di UTeM bermula hari ini di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Sementara itu, Nabilah mengucapkan terima kasih kepada UTeM yang memberikan harapan baharu kepadanya untuk merealisasikan impian melanjutkan pelajar ke universiti.

Nabilah berkata bapanya, Zainuddin Hassan, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, kini tidak mampu lagi bekerja selepas pembedahan jantung dan sedang mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata ibunya, Siti Noormasurah Ahmad, 49, pula hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya memang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di UTem dan melihat keadaan ibu dan ayah serta kesusahan keluarga, membakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah nasib keluarga,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1395
Kongsi :
Previous post Sasar bina 40 CLQ untuk pekerja menjelang 2025 – Exco
Next post Lebih RM8 juta kompaun dikenakan kepada majikan gagal patuh Akta 446
Ubah saiz-+=