Sasar bina 40 CLQ untuk pekerja menjelang 2025 – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Kerajaan Negeri menyasarkan 40 Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) dibina di negeri ini menjelang tahun 2025 sekali gus menjamin hak para pekerja mendapatkan perlindungan serta penginapan yang sewajarnya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Penginapan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Setakat ini hanya 13 CLQ yang sudah dibina di negeri ini yang menampung seramai 22,765 pekerja, (dan) hari ini kita sudah luluskan dua perakuan bagi dua CLQ lagi yang mana salah satunya adalah di Pangsapuri Bunga Raya Bukit Beruang.

“Mengikut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, kita mempunyai seramai 63,500 pekerja, ini menunjukkan masih kurang 50 peratus pekerja yang menginap di CLQ yang ada di negeri ini.

“Kita masih ada tempoh kira-kira setahun lebih untuk capai sasaran 40 buah CLQ pada tahun 2025,” katanya.

photo_2023-08-07_14-42-36
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berucap pada sidang media selepas merasmikan Program Pendidikan Perburuhan Executive Talk Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pendidikan Perburuhan Executive Talk Melestari Perumahan dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab dan Pengarah JTK negeri, Johana Bakar.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa mengadakan perjumpaan bersama pihak pemaju di negeri ini bagi menggalakkan mereka membina lebih banyak CLQ.

“Kita mahu sekurang-kurangnya seramai 40,000 pekerja ditempatkan di CLQ selepas ini, mana-mana majikan yang tidak dapat menyediakan penginapan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Ramai yang mohon untuk bina CLQ, cuma proses untuk menguruskan tanah masih belum selesai dan mengambil masa sedikit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1587
Kongsi :
Previous post Program TVET tahfiz luaskan peluang kerjaya pelajar – Mustapha
Next post UTeM bantu pelajar cemerlang kurang mampu masuk universiti
Ubah saiz-+=