Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BUKIT MERTAJAM, 22 Jan – Seorang lelaki yang disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi ditahan bersama 4,000 liter bahan api itu, tangki dan sebuah lori yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuhraya Butterworth-Kulim, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah lori lapan tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel pada 4 petang.

“Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 50-an yang juga pemandu lori itu sedang mengisi diesel dan pemeriksaan kami menemukan satu unit tangki besi khas berkapasiti 12,000 liter diletak di belakang kenderaan tersebut yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul diesel bersubsidi dari stesen minyak.

“Hasil pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki besi tersebut dan berdasarkan siasatan awal, lelaki yang bekerja dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu membeli bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum ia dijual semula kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai menjual kepada pihak lain dengan harga lebih murah berbanding pasaran namun mahal berbanding diesel subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata pihaknya merampas lori, diesel, tangki besi, hos pam dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1997
Kongsi :
Previous post Pegawai penjara maut tercampak dalam longkang
Next post MCMC sekat 1.8 bilion panggilan ‘scam’ sejak 2017 hingga 2022 – Fahmi
Ubah saiz-+=