Lelaki koma dipercayai miliki dadah

0
769
BEG yang ditemui bersama suspek mengandungi dadah.

AYER KEROH 30 Nov – Seorang lelaki berusia 27 tahun yang koma akibat kemalangan di Kilometer 238 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan Jumaat lalu dipercayai miliki dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Alor Gajah memaklumkan suspek dirawat di hospital berkenaan selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri.

Katanya, akibat kemalangan itu, suspek masih tidak sedarkan diri kerana kecederaan teruk di kepala.

“Doktor yang merawat hadir ke Balai Polis Alor Gajah dan menyerahkan beg milik suspek yang dipercayai mengandungi dadah di dalamnya.

“Pemeriksaan lanjut polis menemukan satu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 955 gram dan lima paket dadah dipercayai methamphetamine seberat 65.95 gram.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM4,000,” katanya mengerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan dijangka menjalani pembedahan di kepala.

“Sehingga kini suspek masih berada dalam keadaan koma dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.