Sindiket pelaburan saham tidak wujud tumpas

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 30 Nov – Mewujudkan laman web pelaburan saham dengan menawarkan pulangan yang tinggi untuk meyakinkan mangsa membuat transaksi wang antara taktik dilakukan kumpulan sindiket jenayah siber dipercayai warga China di negeri ini.

Kumpulan sindiket berusia antara 22 hingga 45 tahun itu bagaimanapun tumpas selepas ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam dua serbuan berasingan dalam operasi bermula Selasa hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam serbuan pertama pada 24 November lalu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Tun Perak, di sini pada jam 6 petang sebelum menahan 13 lelaki warga asing.

Ujarnya, ketika serbuan, semua suspek sedang melayari komputer secara atas talian dengan skrin komputer memaparkan graf disyaki pelaburan saham.

Beliau berkata, susulan itu, polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan haram itu, antaranya termasuk 97 telefon bimbit, 13 komputer riba, pasport negara China (5) dan modem WiFi.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa luar daripada negara ini, bukan warga tempatan.

“Susulan daripada penahanan pertama, polis membuat serbuan di sebuah kondominium Atlantis Residences di Kota Laksamana pada jam 2 petang Jumaat lalu sebelum menahan tiga lagi suspek sindiket sama,” katanya pada sidang di Bilik Mesyuarat JSJK IPK Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan mewujudkan laman web mengenai pelaburan saham sebelum memancing mangsa supaya menyertai kegiatan jenayah siber itu.

“Menerusi laman web berkenaan, mereka membuat beberapa komunikasi melalui transkrip.

“Apabila mangsa mula mengesyaki ada unsur penipuan, mereka akan menutup laman web berkenaan selepas transaksi wang telah dibuat,” katanya.

Abdul Majid berkata, kumpulan sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi di negeri ini sejak awal November dan dipercayai berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain untuk dijadikan pusat panggilan kegiatan itu.

Jelasnya, daripada risikan yang dijalankan, mereka menjadikan negara ini sebagai ‘call-centre’ (pusat panggilan) kerana sewa di sini berbanding negara Asia lain agak rendah dan sistem telekomunikasi kita juga terbaik berbanding negara lain.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati lima daripada suspek mempunyai dokumen perjalanan sah manakala lapan lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Semua suspek disambung reman sehingga Khamis dan Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan 15(1)(c) akta samah kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, penahanan semua suspek itu merupakan antara 26 kes jenayah komersil membabitkan jumlah kerugian keseluruhan RM3.2 juta yang berjaya diselesaikan polis kontinjen Melaka dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Abdul Majid turut menyeru kepada orang ramai suapay menyalurkan maklumat kepada polis apabila mendapati terdapat kecurigaan terhadap penempatan ramai warga asing di kawasan.

“Bagi memudahakn orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah di kawasan mereka, polis Melaka telah mewujudkan satu saluran dalam aplikasi Telegram,” katanya.

#melakahariini

Views:

756
Kongsi :
Previous post Harga roti Gardenia naik
Next post Lelaki koma dipercayai miliki dadah
Ubah saiz-+=