Lelaki maut, dua wanita serta bayi perempuan parah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ALOR GAJAH 24 Jun – Seorang maut manakala tiga lagi parah termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan selepas terbabit kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran Rembia di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 6 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Bezza, Mohammad Ariffin Abdullah Thani, 33 yang bekerja sebagai operator pengeluaran parah dalam kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia ketika menerima di Hospital Alor Gajah tiga jam kemudian.

Pemandu kereta jenis Proton Saga yang turut terbabit dalam kemalangan itu, seorang wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan serta adik perempuannya berusia 24 tahun masing-masing parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata siasatan awal mendapati kereta Bezza dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Alor Gajah manakala kereta Saga dalam perjalanan dari arah bertentangan iaitu dari Alor Gajah menghala ke Melaka.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu Bezza dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Saga.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Bezza yang parah di bahagian kepala dibawa ke Hospital Alor Gajah manakala pemandu serta dua penumpang Saga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan yang juga parah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu Bezza disahkan meninggal dunia pada jam 9.07 malam selepas menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

Ashari berkata, notis Pol. 61 dikeluarkan bagi proses bedah siasat dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian manakala kedua-dua kereta yang terlibat nahas dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post Pewaris tangan emas nenek
Next post Melaka kongsi kejayaan Zon Bebas Kenderaan di Brazil
Ubah saiz-+=