Melaka kongsi kejayaan Zon Bebas Kenderaan di Brazil

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Inisiatif Zon Bebas Kenderaan yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi antara inisiatif hijau yang dibentangkan pada ICLEI World Congress 2024 yang berlangsung di Sao Paolo, Brazil.

Inisiatif berkenaan dibentangkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri DatuK Rais Yasin dalam forum bertajuk Wheels of change: Future-Proofing Urban Mobility.

Menurut Rais, pembentangan itu bertujuan untuk berkongsi kejayaan Kerajaan Negeri di peringkat global dalam melakukan transformasi hijau di kawasan tumpuan pelancong.

Jelas beliau, antara intipati pembentangan pada forum tersebut ialah sejarah awal pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan sehinggalah kepada cabaran yang dihadapi dan pencapaian kejayaan selepas lebih setahun inisiatif itu dilaksanakan.

Beliau berkata, walaupun berdepan beberapa cabaran, namun hasil libat urus yang dilakukan oleh Ketua Menteri sendiri bersama pelbagai agensi dan jabatan terlibat, perkara itu dapat diselesaikan sehinggalah kawasan berkenaan menjadi destinasi tumpuan pelancong untuk bersantai lebih lama pada setiap hujung minggu.

Malah, ujar beliau, impaknya turut dirasai komuniti dan pemain industri di kawasan berkenaan seperti peniaga dan pengayuh beca dan lain-lain, selain turut mempromosi kenderaan mesra alam yang dapat mengurangkan pelepasan karbon seperti e-mobility dan basikal.

“Pada tahun lalu, saya telah hadir membentangkan tentang kehebatan pengurusan Sungai Melaka oleh Kerajaan Negeri hingga berjaya menjadi daya tarikan pelancongan terkemuka. Justeru bagi topik kali ini, saya mengambil peluang keemasan untuk berkongsi pelaksanaan Car Free Zone, yang diilhamkan sendiri oleh Ketua Menteri.

“Ini merupakan suatu pengalaman bermakna kerana berpeluang untuk berkongsi kejayaan Negeri Melaka di peringkat global sebegini.

“Semoga bumi Hang Tuah ini dilimpahi kemakmuran dan terus dikunjungi oleh pelancong daripada segenap pelosok dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada kongres berkenaan, Rais yang mewakili Kerajaan Negeri turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Global ICLEI (GexCom), di mana, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron telah dipilih sebagai salah seorang ahli GexCom.

Kongres penuh berprestij itu melibatkan lebih 150 buah negara dan 2,500 Kerajaan Tempatan dari seluruh dunia bagi membincangkan agenda pembangunan bandar yang mampan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post Lelaki maut, dua wanita serta bayi perempuan parah
Next post JIWA Komuniti MADANI medium eratkan pemimpin, masyarakat
Ubah saiz-+=