Lelaki maut, isteri parah nahas tiga kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 14 Julai – Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paya Lebar, Lubok China dekat sini petang tadi.

Dalam kemalangan pada jam 1 petang itu, Mohd Afizul Mohd Radzi, 25 yang memandu kereta Perodua Myvi maut di lokasi kejadian manakala isterinya berusia 23 tahun parah di kepala.

Mangsa yang cedera adalah pemandu lori berusia 30 tahun serta tiga lagi penumpang sebuah lagi kereta jenis Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 49 tahun dan dua cucu lelakinya.

Suami wanita terbabit yang memandu kereta berkenaan berusia 56 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan kelapa sawit dan kereta Saga dalam perjalanan arah sama iaitu dari lampu isyarat Lubok China menghala ke arah Masjid Tanah.

Katanya, kereta Myvi dinaiki suami isteri itu dalam perjalanan dari arah bertentangan iaitu dari Masjid Tanah menghala ke Lubok China.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta Saga dipercayai berhenti untuk masuk ke simpang kanan namun lori yang datang dari arah belakang merempuh belakang kereta terbabit.

“Lori tersebut kemudian terbabas dan memasuki arah bertentangan lalu merempuh kereta Myvi dinaiki suami isteri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

IMG_9027
KEADAAN dua kereta yang terbabit dalam kemalangan. Foto ihsam PDRM

Beliau berkata, akibat rempuhan itu pemandu kereta Myvi parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala isterinya parah di kepala.

“Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala isterinya dibawa ke hospital sama sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori yang cedera di leher dirawat di sebuah hospital swasta di Seremban manakala tiga penunpang kereta Saga yang cedera ringan dirawat di Hospital Alor Gajah sebagai pesakit luar.

Arshad berkata ketiga-tiga kenderaan yang terbabit dalam nahas itu ditahan untuk pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5431
Kongsi :
Previous post TMM2024: Melancong ke Melaka berpeluang menang kereta
Next post Melaka meriah 2024!
Ubah saiz-+=