Lelaki maut kereta langgar pokok selepas 25 kilometer dikejar polis

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

Banda Hilir 4 April – Penganggur lelaki maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan melanggar dua batang pokok ketika cuba melarikan diri daripada polis yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Bukit Lintang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian bermula jam 3.30 pagi tadi selepas si mati berusia 51 tahun yang memandu Proton Waja sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Kejadian katanya, disedari sepasukan dua anggota sebuah peronda polis (MPV) yang ketika itu sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Tanjung Minyak.

Menurutnya, pihak polis kemudian mengarahkannya memberhentikan keretanya namun tidak diendahkan sebelum dia terus memecut sehingga telah melanggar lampu isyarat merah di semua lima lokasi di sepanjang Lebuh AMJ.

KEADAAN kereta penganggur lelaki yang maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan melanggar dua batang pokok ketika cuba melarikan diri daripada diberkas polis yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Bukit Lintang, Ayer Molek awal pagi tadi.

“Tindakannya itu yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain memaksa pasukan MPV berkenaan meminta bantuan empat buah MPV lain dengan kekuatan lapan lagi anggota.

“Sepanjang aksi mengejar itu, polis turut memberikan amaran menggunakan siren dan pembesar suara memintanya berhenti namun gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Afzanizar berkata, Proton Waja terbabit sebaliknya terus menghala ke Lebuh AMJ berhampiran Ayer Molek dan memecut ke arah Muar sambil diekori MPV lain dengan jarak kira-kira 200 meter disebabkan keadaan hujan.

KEADAAN kereta penganggur lelaki yang maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan melanggar dua batang pokok ketika cuba melarikan diri daripada diberkas polis yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Bukit Lintang, Ayer Molek awal pagi tadi.

“Bagaimanapun selepas 25 kilometer dikejar sehingga tiba di Lebuh AMJ Kandang- Bukit Lintang kira-kira 4.05 pagi, kenderaan mangsa tiba-tiba hilang kawalan menyebabkannya terbabas sehingga melanggar dua batang pokok di tepi jalan.

“Akibatnya pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan ambulans yang tiba selepas itu,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, polis turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) yang dihantar ke tempat kejadian bagi mengesan barang yang dipercayai dibuang keluar dari kenderaan mangsa.

Kes katanya disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

“Setakat ini, polis masih belum menjumpai apa-apa bukti di lokasi nahas dan semakan turut mendapati si mati turut mempunyai dua rekod jenayah membabitkan samun dan pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Waris atau orang ramai yang mengenali mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-21633214 untuk membantu siasatan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1390
Kongsi :
Previous post Penceramah luar Melaka belum dibenarkan
Next post Tukang kayu juara memancing, bawa pulang RM25,000
Ubah saiz-+=