Lelaki Orang Asli lemas ketika jala ikan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ALOR GAJAH 14 Mac – Seorang lelaki Orang Asli berusia 33 tahun mati lemas selepas dipercayai terjatuh dalam tapak lombong ketika menjala ikan di Solok Menggong, Machap Baru di sini petang semalam.

Mangsa, Jerrey A/L Juli yang beralamat di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong bagaimanapun ditemukan 15 jam oleh pasukan penyelamat selepas dilaporkan terjatuh ketika membetulkan jalanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berhubung kehilangan mangsa pada jam 8.30 malam tadi.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit adalah bekas lombong berkeluasan lebih kurang satu ekar.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa bersama dua rakannya pergi ke tempat kejadian untuk menjala ikan kira-kira jam 6 petang.

“Bagaimanapun setengah jam kemudian, mangsa turun ke perahu untuk membetulkan jalanya sebelum terjatuh dalam lombong dan gagal menyelamatkan diri.

“Dua rakannya cuba membantu namun gagal sebelum mereka melaporkan kejadian itu di Balai Polis Hutan Percha,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata pihaknya memohon bantuan bomba untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa namun aktiviti selaman tidak dapat dilakukan pada waktu malam berikutan keadaan cuaca gelap.

Katanya, aktiviti SAR bagaimanapun disambung semula pada jam 8.30 pagi dengan kekuatan lapan anggota polis dari Balai Polis Hutan Percha dan Machap serta 13 pegawai dan anggota bomba selain bantuan lapan orang awam.

“Mangsa ditemukan pada jam 9 pagi sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, mayat mangsa ditemukan dalam kedalaman 4.5 meter selepas dua minit operasi pencarian bermula.

“Operasi pencarian dilakukan oleh pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menggunakan alat selamaan dengan menggunakan teknik pencarian secara membulat (circle),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2500
Kongsi :
Previous post Kedai kopi ‘port’ judi dalam talian – KM
Next post Kempen besar-besaran banteras judi siber – KM
Ubah saiz-+=