Sorting by

×

Kempen besar-besaran banteras judi siber – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 14 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas wang berjumlah RM107,614 bagi aktiviti perjudian secara dalam talian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, rampasan itu adalah hasil 501 serbuan dengan 513 tangkapan dan 516 rampasan perkakasan komputer serta telefon pintar.

Sulaiman berkata berdasarkan statistik PDRM tangkapan bagi kebanyakkan daerah adalah melebihi jumlah serbuan, sekali gus menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan dijalankan.

“Punca berlaku judi kerana tiada pekerjaan dan mereka anggap judi platform mudah jana kewangan. Kedua terpedaya dengan hadiah lumayan diiklankan, terpengaruh dengan rakan sebaya dan laman web berkaitan judi yang mudah dimuat turun serta diakses menerusi telefon pintar.

“Sementara itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi hanya satu serbuan judi siber dan tangkapan dilakukan, ini membuktikan DUN ini bukan ‘hotspot’ bagi aktiviti judi siber. Namun langkah pencegahan dan penguatkuasaan tetap dilaksanakan PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai jumlah serbuan dan tangkapan dilakukan terhadap aktiviti judi siber pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua, hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Menurutnya kempen kesedaran secara besar-besaran sehinga ke akar umbi dan penguatkuasaan undang-undang bakal digerakkan menerusi Jawatankuasa ‘Task Force’ ditubuhkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Kempen kesedaran ini akan melibatkan 238 Sekolah Kebangsaan (SK), 78 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 45 institusi pengajian tinggi (IPT) Awam dan Swasta di negeri ini.

“Selain itu, operasi dan serbuan secara berterusan juga akan dilaksana melalui Op Dadu termasuk secara bersepadu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1458
Kongsi :
Previous post Lelaki Orang Asli lemas ketika jala ikan
Next post RM23.4 bilion sasaran Tahun Melawat Melaka 2024
Ubah saiz-+=