Lelaki temui ajal dalam kereta

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

POKOK MANGGA 25 Ogos – Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terbakar di sebuah taman perumahan di Pokok Mangga pagi tadi.

Mangsa, Md Lela Othman, 51, ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan oleh anaknya daripada kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran sebuah kereta di lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan mangsa tidak sedarkan diri dalam kereta PROTON Exora yang terbakar di parkir hadapan rumah mangsa.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Melaka (HM) kira-kira jam 8.50 pagi.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang kesan melecur atau terbakar serta tiada kesan unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Afzanizar, hasil temu bual polis bersama anak mangsa, mendapati lelaki terbabit mengadu sakit dada pada jam 8 pagi sebelum keluar rumah dan menghidupkan enjin kereta.

“Kira-kira jam 8.30 pagi, anak mangsa mendapati kereta dinaiki mangsa dipenuhi asap dan api di bahagian belakang kereta.

“Anak mangsa kemudian menghampiri kereta berkenaan dan mendapati bapanya tidak sedarkan diri sebelum bertindak mengeluarkannya dari kereta terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HM untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post ‘Rider’, petugas kurier jadi duta kibar Jalur Gemilang
Next post 460 Jalur Gemilang diagihkan secara pandu lalu – JaPen Alor Gajah
Ubah saiz-+=