‘Rider’, petugas kurier jadi duta kibar Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 25 Ogos – Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini, Pejabat Penerangan Alor Gajah mengambil inisiatif menyantuni dan mengedarkan Jalur Gemilang kepada petugas dan ‘rider’ kurier.

Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan @ Abd Rashid berkata, inisiatif itu diambil memandangkan petugas kurier antara mereka yang banyak berkorban menjalankan tugas menghantar barangan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda.

Katanya, dengan cara itu juga petugas kurier dapat menjadi sebahagian daripada duta kecil Kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, sekali gus memupuk semangat masyarakat untuk turut sama mengibarkan bendera kemegahan negara.

JALUR Gemilang turut dipasang pada van kurier.

“Sebelum ini program lebih tertumpu kepada menyantuni petugas barisan hadapan seperti di sekatan jalan raya (SJR), polis dan petugas kesihatan sahaja dan kali ini kami mencari kelainan agar petugas kurier ini merasa dihargai dan gembira dengan kunjungan kami ke premis mereka.

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan kami menyumbang Jalur Gemilang untuk dipasang di kenderaan kurier untuk menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan dan mengajak masyarakat mengibarkan bendera Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Gudang Ninjavan Cawangan Alor Gajah, Luqman Hakim Ahmad, berkata, pihaknya berbangga terpilih menjadi duta mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan memandangkan setiap hari mereka mengedarkan lebih 2,000 bungkusan pesanan kepada pelanggan.

“Penghantaran kami meliputi seluruh daerah Alor Gajah pada setiap hari dan sudah tentu kami teruja apabila ada sumbangan Jalur Gemilang dan sudah pasti kami akan memasang di kenderaan dengan rasa bangga.

“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Penerangan kerana sudi berkunjung ke premis kami dan mengedarkan Jalur Gemilang berserta pek makanan kepada petugas di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post Tukang kebun sambilan cabul wanita warga emas dihukum penjara 10 tahun
Next post Lelaki temui ajal dalam kereta
Ubah saiz-+=