Tukang kebun sambilan cabul wanita warga emas dihukum penjara 10 tahun
AYER KEROH 25 Ogos – Padah mencabul wanita warga emas Khamis lalu, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu sejuruh tertuduh, Firmus Nahak, 41 mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang kebun sambilan didakwa telah melakukan perhubungan dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan dan mendatangkan cedera ke atas mangsa berusia 77 tahun itu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bilik pusat jagaan warga emas, dekat sini, pada jam 12.30 malam, 19 Ogos lalu.
Justeru itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad dalam hujahannya memohon hukuman penjara yang panjang sebagai pengajaran kepada tertuduh yang mengambil kesempatan atas kelemahan mangsa dan masyarakat.
Maziah pada penghakimannya memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman 10 tahun dan satu sebatan bermula tarikh tangkapan pada Khamis lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.