Leypark Station tarikan baharu di Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 15 Jan – Suasana sekitar Dataran Sejarah Ayer Keroh yang sebelum ini sunyi sepi kini berubah wajah dengan pembukaan pasar Malam Leypark Station di situ.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, Leypark Station dibangunkan dengan konsep pasar malam seakan Jonker Walk yang popular di Bandar Hilir.

Menurutnya, Leypark Station dibuka kepada pengunjung empat hari seminggu bermula Khamis malam.

“Sejak dibuka sebulan lalu, Leypark Station telah berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan melawat operasi peniaga Leypark Station malam tadi.

Selain itu menurut Shadan, seramai 40 peniaga menjual makanan dan pelbagai barangan cenderamata di Leypark Station sekali gus menawarkan kepelbagaian destinasi tumpuan pelancong ke negeri ini.

“Usaha ini diharap dapat membantu menarik kunjungan dan lebih banyak tumpuan pengunjung untuk menikmati suasana malam di Ayer Keroh selepas ini,” kata beliau.

Ini kerana sebelum ini, menurut Shadan, pengunjung khususnya pelancong luar terpaksa memandu sejauh kira-kira 15 kilometer ke pusat bandar semata-mata mahu merasai suasana malam.

Kata beliau, kunjungan lebih ramai pelancong ke kawasan itu dijangka bertambah apabila pembukaan taman bunga di Dataran Sejarah bulan depan.

Katanya, Leypark Station bukan sahaja bakal menjadi destinasi pelancongan baharu malah menyediakan lebih peluang peniaga kecil untuk menambah pendapatan mereka dengan berniaga di situ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8507
Kongsi :
Previous post 1,300 anggota polis ditugaskan pantau sambutan Thaipusam di Batu Caves
Next post Polis lengkapkan kertas siasatan ADUN Perak
Ubah saiz-+=